Friday, July 10, 2009

sailormoon

1995, Kelas 1B

Cikgu Rubiah tak masuk kelas lagi. Inilah saat paling indah bagi murid-murid kelas 1B sebab boleh buka cerita pasal Sailormoon semula. Aku seperti biasa dengan geng Sailormoon rancak memilih gaya serangan terbaru menentang musuh. Tapi harini aku rasa lain macam. Feeling nak bergaya dah lari. Dari bahagian kiri kelas kelihatan si Apek dah mendengus kasar. Buku-buku conteng di atas meja habis semua dilemparkan ke sana sini. Aku syak ini mesti ada kaitan dengan si Jefriden kat belakang. Sekilas pandang aku lihat Jefriden dah mencicit menyorok bawah meja. Apek bangkit tangkas sambil mengangkat tegak kolar baju sekolah putih dia itu, berjalan dengan penuh amarah ke arah Jefriden. Tangan dah genggam jadi penumbuk yang kecil saja. Member-member lain buat tak ambil port. Sembang kuat gelak kuat pasal Sailormoon lagi best.

Dalam beberapa saat kemudian, kedengaran suara Jefriden mengaduh. "Aduh!" dan "Auuw!" dan juga "Ouchh!". Suara si Apek pula begitu lancar menuturkan carut carut darjah satu. Aku tengok si Jefriden dah terkulai tak berdaya. Si Apek masih laju menumbuk-numbuk perut dan pipi Jefriden tanpa belas kasihan.

Panas. Badan aku tiba-tiba rasa panas. Tangan kecil aku tiba-tiba membesar dan berketul-ketul menggenggam penumbuk dengan mantap. Sebelah lagi pegang tongkat sakti. Kaki aku menjadi panjang, aku membesar secara tiba-tiba. Ala-ala Hulk tetapi lebih bergaya dengan memakai pinafore. Aku yakin dan pasti bahawa aku telah diberi kuasa itu. Ya! Kuasa Sailormoon sudah menyerap dalam diri. Laju berlari ke belakang kelas, mendepakan tangan mengambil tempat di antara Apek dan Jefriden, seraya berkata,

"Dengan kuasa bulan, aku menghukum kau. Jangan pukul Jefriden lagi!"

Gedebushh!

Aku terduduk. Tangan dan kaki mengecil dengan laju. Balik ke bentuk asal. Tongkat sakti bertukar kepada pembaris 20sen. Ada tapak kasut di perut. Suara tak mampu dikeluarkan lagi. Senak. Nak bangun pun menggigil lutut. Butir-butir mutiara sudah bertakung di mata.

"Kau duduk diam-diam. Ini urusan budak lelaki macho saja. Kau tu perempuan. Jangan masuk campur!" Jerkah si Apek betul-betul depan muka aku. Aku boleh nampak anak tekak dia bergerak-gerak. Dalam hati aku berikrar takkan kawan dengan Apek sampai bila-bila. Tak nak kawan! Petang ni nak pergi rumah Cik Nor nak mengadu pasal anak dia terajang perut aku. Cik Nor selalu menangkan aku.

Cikgu Rubiah masuk kelas. Apek dan Jefriden sudah bersurai duduk tempat masing-masing. Cikgu Rubiah terus mengajar eja perkataan 'SAKIT'. S A K I T. Air mata aku berguguran. Cikgu Rubiah panik.

***

Balik rumah aku terus minta mak aku beli seluar biru gelap. Esok nak pakai seluar dengan kemeja pergi sekolah. Rambut minta potong pendek.

***

Sampai sekarang aku still contact dengan Apek. Bestfriend lagi tu. Jefriden pula buat-buat tak kenal haritu jumpa dekat bank. Dia mungkin dah lupa siapa itu Sailormoon Kelas 1B. Dan satu lagi, semua cikgu aku panggil Cikgu Rubiah masa darjah satu.

1 comment:

kudakertas said...

hahaha..ko igt 1 je ke nme ckgu mse skola rndh dlu..agk2 kuasa sailormoon ko tu wujud lg x??